DIrotan, dibebel, didenda tidak boleh keluar rumah,wang saku di tarik adalah denda yang biasa dilakukan oleh ibu bapa ke atas anaknya yang degil dan nakal.
Namun tidak buat seorang ibu, Natalia Roberts yang bertindak luar biasa apabila mendenda anak perempuannya, Sofia Petrova dengan menghantar gadis itu ke Siberia.
Sofia kini sudah tiga tahun di sana dan masih gagal pulang ke Amerika Syarikat walaupun telah memohon maaf berkali-kali terhadap ibunya.
Sofia diperdaya ibu dan bapa tirinya untuk ke Siberia, konon untuk berjumpa bapa kandungnya yang tidak pernah dikenali selama ini sahaja.
Namun, ketika menjejak kaki di Bandar Novosibirsk, barulah Sofia tersedar dia ditipu kerana ibunya memberikan tiket penerbangan sehala sahaja.
Ibu Sofia berkata, ia merupakan hukuman atas sikap teruknya suka ponteng sekolah, lari dari rumah dan mencuri wang. Maka dia akan tinggal bersama bapanya sehinggalah dia mengubah sikap buruk.
Tambah malang, Sofia tidak mempunyai sesiapa pun untuk membantunya. Walaupun dilahirkan di Siberia dan memiliki passport Rusia, Sofia sudah biasa dibesarkan di Amerika.
Ibarat jatuh di timpa tangga, rupa-rupanya bapa kandung Sofia pula seorang pemabuk yang selalu mendera dan memukulnya. Dia yang tidak memiliki wang, dipaksa berkerja di motel berdekatan bagi menampung perbelanjaan.
“Saya hendak pulang ke rumah. Saya mahu tinggal bersama Mak. Saya mohon sekali lagi, tolong benarkan saya kembali. Hanya awak sahaja yang saya ada di dunia ini. Saya perlukan awak,” rayu Sofia dalam sepucuk surat yang dihantar kepada ibunya.
Namun demikian, Natalia masih belum memaafkan anaknya, lantas tidak mengendahkan rayuan Sofia.
Sofia yang terlalu tertekan, pernah lari ke rumah perlindungan bagi mendapatkan bantuan selain cuba membunuh diri.
Rakan-rakan Sofia di Amerika cuba menghulurkan bantuan dengan mengaturkan kempen dan protes, tetapi tetap gagal untuk membantunya pulang.
Media tempatan yang dapat menghidup kisah ini, kemudian mula mendedahkannya dan sebuah akaun Facebook dibuka buat Sofia memuat naik keadaan semasanya.
Tuah sedikit memihak pada Sofia apabila dengan bantuan rakan-rakan, dia berjaya mengesan bekas teman lelaki ibunya, Farid Soulimani yang telah membesarkannya seperti anak sendiri ketika kecil.
Namun, ketika berumur 13 tahun, dia terputus hubungan dengan lelaki tersebut selepas Soulimani berpisah dengan ibunya.
Apabila Soulimani mendapat tahu nasib malang Sofia, dia yang tinggal di Amerika terus mengaturkan perjalanan buat Sofia bertemu keluarganya di Morocco. Dia turut pulang bertemu Sofia selepas itu.
“Ini bukan keluarga yang baru, saya mengenali nenek (ibu Soulimani) ketika masih kecil,” ujar Sofia.
Kini, setelah berumur 18 tahun, Sofia berpindah ke Casablanca dan menggunakan nama Farid di belakang namanya.
Dia juga mengambil kelas bahasa Perancis untuk menyesuaikan diri dengan komuniti, serta dalam proses melengkapkan dokumen rasmi untuk menetap terus di Morocco.
Sofia mendedahkan, dia bercadang untuk menulis sebuah buku yang menceritakan pengalamannya selama tiga tahun bergelumang kepayahan, dan mendedahkan rahsia yang tidak diketahui umum.
“Ia akan menceritakan secara terperinci tentang hubungan saya dengan ibu, bapa kandung dan lelaki yang pernah hadir dalam hidup saya. Masyarakat mungkin tahu kisah saya, namun sebahagian kecil sahaja.”
Perancangan menulis buku ini ternyata menaikkan kemarahan ibu Sofia di Amerika.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya dan memaafkan awak walaupun telah membawa keperitan dalam hidup saya sekeluarga,” kata Natalia kepada anaknya itu.
Sofia yang nekad tidak akan memohon maaf berkata, “Saya juga tidak meminta awak memaafkan diri sendiri. Kesalahan yang pernah saya lakukan tidak sama dengan penderitaan yang terpaksa saya tanggung selama tiga tahun.”
Namun demikian, Sofia mengaku masih berharap dapat pulang ke Amerika Syarikat suatu hari nanti untuk berjumpa kembali adik perempuannya.
0 comments:
Post a Comment