JKM tiada masalah untuk menjaga dan membela Firdaus.
NILAI - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan akan terus menjaga Muhammad Firdaus Dullah, 15, anak kepada Lolanopita Saidi, 40, yang bersedia anaknya itu tinggal di rumah kebajikan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya dimaklumkan Lolanopita enggan menuntut Muhammad Firdaus, walaupun selepas selesai menjalani hukuman.
Katanya, melalui sesi kaunseling yang dibuat bersama Lolanopita, dia memberitahu kepada pegawai JKM, dia mahu Muhammad Firdaus terus tinggal di rumah kebajikan itu.
“Apa juga keputusan yang dibuat oleh ibu Firdaus, kita menerimanya. Kita tiada masalah untuk menjaga anak ini. Cuma sebagai seorang ibu dia harus mempunyai rasa kasih dan sayang terhadap anaknya sendiri.
“Walaupun Firdaus berada di bawah jagaan JKM, namun dia dinasihatkan sentiasa menjenguk anaknya sekerap mungkin," katanya.
Beliau juga berkata, Lolanopita tidak boleh hanya melepaskan tanggungjawab kepada JKM semata-mata.
"Walaupun kita mampu menjaga Firdaus dengan baik, namun hubungan ibu dan anak tidak boleh dipisahkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Seminar ‘Nilai U - Niew Future Leaders Camp 2014’ di Nilai Spring Resort dekat sini, semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Jadikan kes Lolanopita satu pengajaran]
Rohani menjelaskan, kejadian itu harus dijadikan sebagai contoh dan pengajaran kepada masyarakat, agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Rohani memberitahu, hukuman diterima Lolanopita bukan sekadar hukuman, namun pengajaran penting buat dirinya agar sentiasa memberi keutamaan dan kasih sayang kepada anak, lebih-lebih lagi anak istimewa.
Bagaimanapun, Rohani menegaskan, sekiranya suatu hari nanti Lolanopita ingin menuntut Muhammad Firdaus kembali, dia berhak berbuat demikian dan pihaknya akan menyerahkannya kepada ibunya dengan bersyarat.
“Lola boleh mengambil anaknya pada bila-bila masa kerana dia adalah ibu kandungnya, namun kita akan serahkan anaknya itu dengan bersyarat, antaranya perlu mengikuti kelas pemulihan untuk Firdaus, sesi kaunseling, rawatan susulan dan pelbagai lagi keperluan yang perlu diikuti,” katanya.
0 comments:
Post a Comment