Sunday, November 2, 2014

Penuntut kolej swasta didakwa bunuh kakak kandung



SHAH ALAM: Seorang penuntut kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh kakak kandungnya di rumah mereka di Kota Kemuning di sini, minggu lalu.

Toh Wei Jun, 18, didakwa membunuh Toh Wei Teen, 22, di rumah mereka di Taman Kemuning Utama, Seksyen 33 di sini antara 11.12 malam, 25 Oktober lalu hingga 3.30 pagi keesokannya.

Tertuduh, anak bongsu lelaki daripada tiga beradik, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Wei Jun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan 1 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Arunan Selvaraj.

Sepanjang prosiding, ibu tertuduh dilihat sentiasa menangis sambil ditenteramkan suami dan anggota keluarganya.

Akhbar sebelum ini melaporkan mayat Wei Teen, anak kedua, yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Sabah ditemui dalam keadaan lehernya dikelar di depan pintu biliknya. - BERNAMA





TERTUDUH, Toh Wei Jun (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membunuh kakaknya, Toh Wei Teen. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamamt

0 comments:

Post a Comment