Shalwati Norshal yang dibebaskan dari Penjara Hinseberg di Frovi, Sweden Isnin lalu selepas didapati bersalah memukul dan mendera empat anaknya disambut suaminya Azizul Raheem Awalluddin di Pusat Tourism Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Putrajaya. - Foto Bernama
< 1 / 1 >
SEPANG - Shalwati Norshal, yang dibebaskan daripada Penjara Hinseberg, Frovi di Sweden pada Isnin lalu selepas dijatuhi hukuman penjara 14 bulan bagi kesalahan memukul anaknya semasa berada di negara itu, selamat tiba di tanah air hari ini.
Shalwati, 46, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini kira-kira 1.41 petang dari Sweden selepas transit di Dubai dengan menaiki
pesawat Emirates EK 0408 ditemani kakaknya Noor Azila Makhzan, 52.
Shalwati yang memakai sut hitam dan berselendang putih disambut suaminya Azizul Raheem Awalludin, 38, serta anggota keluarga terdekat di Pejabat Pelancongan KLIA, kelihatan sebak setelah hampir sembilan bulan terpisah.
Azizul Raheem, pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya itu dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah di Sweden kerana kesalahan memukul anak mereka dari September, 2010 pada 29 Mac lalu.
Azizul Raheem, dibebaskan pada 9 Julai selepas menjalani hukuman penjara tiga bulan di Sweden. Shalwati, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, dijatuhi hukuman penjara 14 bulan.
Bagaimanapun hukuman itu dikurangkan dan kedua-dua mereka hanya perlu menjalani satu pertiga daripada jumlah hukuman itu.
Shalwati berkata berikutan tidak dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama keluarga pada raya puasa lepas, beliau akan menebusnya pada solat sunat Aidiladha Ahad ini.
"Hari Raya Aidiladha kali ini lebih bermakna selepas tidak dapat menyambut Aidilfitri lepas bersama, saya akan menggunakan waktu itu bersama anak dan suami dengan sebaiknya," katanya kepada pemberita di KLIA.
Beliau berkata, kerinduan terhadap tanah air juga menimbulkan perasaan ingin sujud dan mencium tanah Malaysia sebagai tanda bersyukur atas kebebasannya.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, katanya beliau teruja untuk kembali bertugas sebagai guru di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya dalam masa terdekat.
"Mengenai anak-anak pula, saya akan menunggu sesi persekolahan tahun ini tamat sebelum memindahkan mereka ke sekolah di sekitar Kuala Lumpur," kata Shalwati.
Menceritakan pengalaman semasa di dalam penjara, beliau berkata detik dipenjarakan merupakan saat beliau merapatkan diri dengan Allah swat dan mengibaratkannya sebagai 'percutian memantapkan rohani'.
Sementara itu, Azizul Raheem berkata kepulangan isterinya tepat pada waktu tatkala umat Islam bakal menyambut Aidiladha. "Alhamdulilah Shalwati sudah selamat pulang, sudah nampak depan mata," katanya.
Shalwati dan Azizul Raheem akan pulang ke Kota Baharu, Kelantan dengan penerbangan pukul 6.35 petang ini dan keempat-empat anaknya iaitu Aisyah, 15, Ammar, 13, Adam, 12 dan Arif, 8, menunggu mereka di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. - Bernama
0 comments:
Post a Comment