Tuesday, October 21, 2014

Fahrin Ahmad Putus Asa Dalam Bercinta





Pengacara dan pelakon kacak, Fahrin Ahmad mengakui bahawa dia seakan-akan berputus asa apabila bercakap mengenai soal cinta. Dalam usianya yang menginjak 35 tahun, jejaka yang kini membintangi drama rantaian popular berjudul Maaf Jika Aku Tak Sempurna lebih bersikap terbuka dan katanya ingin terus mengahwini gadis pilihannya sekiranya dipertemukan jodoh.

“Mungkin saya sudah berputus asa dalam cinta. Dalam usia 35 tahun ini saya mencari kematangan dalam menilai pasangan itu sendiri. Mungkin saya nampak lebih kepada yang pratikal sebagai seorang ibu dan isteri dan itu juga yang saya nampak. Mungkin selepas ini saya tak boleh nak ambil risiko pergi ‘date‘ dengan dunia media sosial sekarang ini. Alangkan berbahas di Instagram dengan Zara Zya pun orang komen,” katanya sambil ketawa.

BACA: Fahrin Ahmad Mahu Cari Cikgu Sebagai Calon Isteri

Tambahnya lagi, dia mahu terus meminang mana-mana perempuan sekiranya dipertemukan jodoh dan tidak mahu lagi bercinta terlalu lama. Dengan erti kata lain, dia mahu terus berkahwin sahaja.

“Saya jenis kalau suka akan pinang terus. Kalau ada jangan risau saya akan beritahu. Tetapi Insya-Allah bukanlah orang dalam industri. Cukuplah dengan pengalaman saya yang lepas seperti mana orang semua tahu, sedangkan sampai ke hari ini orang masih berseloroh menyebut nama mereka. Tetapi saya tak kisah, kerana saya mendapati impak positif yang saya dapat dengan saya mampu tersenyum, saya tak rasa sedih dan tidak berdendam. Bagi saya itu pengalaman”

Peminat Ajak Kahwin, Beri Nasihat Kekal Lama Dalam Industri

Fahrin turut berkongsi cerita apabila ada orang yang ingin menjadikannya sebagai menantu kesan daripada drama yang dilakonkannya dalam Maaf Jika Aku Tak Sempurna.

“Ramai orang yang nak kahwin dengan saya, maksudnya ‘Lukman‘ karakter yang saya lakonkan drama itu. Sekarang ini kita ada media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram. Benda-benda macam ini jangan terbawa-bawa, ini akan memudaratkan diri sendiri. Alhamdulillah saya menghadapinya dalam usia dan pengalaman yang ada,” katanya lagi.

Di usia yang matang ini juga Fahrin turut memberitahu sekiranya ingin mengekalkan momentum yang ada dalam industri ini, seseorang artis itu perlulah ikhlas dalam bekerja dan jangan terleka apabila berada di atas kerana dunia seni ada kitarannya.

“Strateginya perlu ikhlas jujur dalam bekerja dan jangan terpedaya atau ‘culture shock’ untuk kita terus kekal selama yang mungkin dalam industri. Selain itu jangan juga menyalahgunakan populariti yang ada,” tambah pengacara bersama Anugerah Skrin 2014 ini. (rtky/hfz)

0 comments:

Post a Comment