Sunday, September 28, 2014

Buku pengaruhi kehidupan manusia dan dunia

  • Gambar hiasan Gambar hiasan
1 / 1
KUALA LUMPUR - Peribahasa Melayu ada mengatakan 'Jauh perjalanan luas pengalaman'.
Namun, bagi Tokoh Sastera Prof Madya Dr Lim Swee Tin, pengembaraan secara fizikal dalam masyarakat lampau mungkin berbeza dengan pada masa kini kerana pengalaman dan pengetahuan boleh diperoleh termasuk diakses dengan mudah melalui pembacaan buku.
Mengulas lanjut, Swee Tin berkata membaca buku dapat memberi kepuasan dan ketenangan di samping menawarkan pengalaman lebih berharga termasuk sumber pengetahuan dan kebijaksanaan.
"Mungkin anda akan jauh dari kemeriahan dan hiruk pikuk, tetapi minda terisi. Dunia juga lebih luas terbuka. Bayangkan sebuah buku yang tiga atau empat ratus halamannya telah tersimpan atau terperosok ke dalam fikiran kita.
"Pembacaan menjanjikan manfaat yang tidak terkira, dari sekecil-kecil risalah pelancongan sehinggalah kitab-kitab agama sesuai cita rasa, dan apa yang dihajati pembaca," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas memberi syarahan bertajuk 'Budaya Membaca Dalam Kalangan Generasi Y' pada sambutan Hari Buku Sedunia peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Swee Tin yang juga Ahli Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) berkata perkembangan trend pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia kini semakin memberangsangkan.
Katanya, berdasarkan kajian terkini PNM mendapati, setiap rakyat Malaysia secara puratanya membaca 14 buku setahun iaitu, iaitu bertambah daripada dua setengah muka surat yang dibaca dalam setahun, kira-kira 14 tahun lepas.
"Saya yakin selagi wujudnya tamadun dan peradaban terus dilestarikan, membaca akan menjadi amalan hidup manusia," katanya.
Mengikut statistik yang dipetik dari laman web PNM, sebanyak 72,271 pinjaman buku dilaporkan pada Ogos lepas iaitu meningkat sebanyak 2,252 pinjaman pada Julai yang mencatatkan 70,019 pinjaman.
Mengenai kepesatan teknologi maklumat seperti Internet dan media sosial, Swee Tin berkata kemunculan buku elektronik atau e-book menjadi revolusi yang sangat drastik.
Beliau berkata ia mengubah landskap pembacaan manusia iaitu daripada bilik bacaan yang sangat konvensional, ke merata-rata tempat yang difikirkan sesuai oleh pengguna peranti.
"Perisian peranti yang luas tak terbatas memberi kesempatan penggunaan mengisi segala bentuk keperluan, daripada fakta ke angka-angka, rajah termasuk bentuk tiga dimensi yang mungkin tidak boleh ditawarkan buku tradisional," katanya.
Swee Tin berkata berdasarkan perkembangan itu, kualiti pembacaan mengalami lonjakan yang amat luar biasa kerana terdapat pilihan bahasa tidak terbatas, bidang yang luas dan terkini.
Katanya, maklumat dalam e-book boleh dimuat naik secara berterusan dan boleh dikemas kini bersama fakta baharu yang menjadikan e-book relevan dengan kehidupan pada era serba pantas dan canggih kini.
"Kini, anda tidak sukar lagi untuk mencari bahan bacaan. Tekan sahaja butang, anda boleh membaca kisah penyanyi K-Pop dari Korea Selatan yang cantik jelita dan mengetahui tentang cita-cita besar Presiden Barack Obama yang pernah melawat Malaysia.
"Pendek kata era generasi Y adalah landskap alam pembacaan wilayah tanpa sempadan. Anda boleh membaca karya apa-apa sahaja sekarang tanpa berkejar-kejar ke perpustakaan kerana ada dalam talian," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Malaysia terutamanya generasi Y tidak boleh memberi alasan untuk tidak membaca berikutan sudah terdapat pelbagai kemudahan di hujung jari untuk menjana ilmu pengetahuan.
Swee Tin berkata sudah tiba masanya golongan itu mengubah persepsi dan pemikiran bahawa buku bukan satu bebanan yang seringkali dikaitkan dengan pembelajaran dalam kelas dan untuk lulus peperiksaan, sebaliknya sebagai medium ilmu yang menyeronokkan serta bermanfaat.
"Saya merumuskan, aktiviti membaca era generasi Y kini telah berubah sama sekali, canggih di tengah-tengah kemajuan teknologi, mesra pengguna di tengah-tengah terbatasnya ruang dan masa serta mengujakan tatkala setiap orang bersedia bersaing dalam apa-apa sahaja bidang dan lapangan," katanya yang juga penerima anugerah SEA Write Award 2000, iaitu anugerah untuk penyair dan penulis di Asia Tenggara. - Bernama

0 comments:

Post a Comment