Jenazah Mohammad Fadhlan disemadikan di bumi Syria
< 1 / 1 >
ALOR SETAR - “Saya tak akan balik ke Malaysia,” itu kata-kata, Allahyarham Mohammad Fadhlan Shahidi atau diberi gelaran Abu Muhajir, setelah menjejakkan kaki ke Syria untuk bersama sebahagian rakyat Malaysia yang berada di sana, menyertai perjuangan Ajnad As Syam.
Ketegasan itu seiring dengan niatnya untuk berjihad selain bersedia berdepan apa jua keadaan, walaupun berdepan kematian.
Mohammad Fadhlan antara kumpulan kecil yang berhijrah ke Syria bersama puluhan rakyat negara ini untuk memerangi tentera Bashar al Assad, yang berpusat di Kafr Zayta, Hamah.
Mereka yang menganggotai kumpulan itu diberi gelaran seakan nama penduduk tempatan dan dia digelar Abu Muhajir.
Mohammad Fadhlan yang masih bujang itu, turut aktif mengemas kini aktivitinya di Syria melalui laman Facebook dan kali terakhir Allahyarham berbuat demikian pada 23 Ogos lalu.
Anak muda berusia 21 tahun dari Kulim, Kedah ini sanggup meninggalkan ahli keluarga tercinta demi mengejar ‘jihad’ di bumi Syam (Syria).
Dia dilaporkan meninggal dunia pagi kelmarin, setelah kumpulan yang dianggotainya, Ajnad As Syam yang memerangi tentera Bashar al-Assad di Syria diserang hendap.
Allahyarham Mohammad Fadhlan Shahidi atau diberi gelaran Abu Muhajir dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian itu, manakala Mohd Lotfi Ariffin masih tidak sedarkan diri serta seorang lagi, Abu Afghan cedera di kedua belah kakinya.
Mereka adalah antara sebahagian rakyat Malaysia yang berhijrah ke Syria, memilih jalan berjihad dan berani mati dalam mempertahankan saudara Islam daripada terus ditindas kerajaan Bashar.
Sebelum terkorban, Mohammad Fadhlan sempat berkongsi pandangannya mengenai jihad yang ingin dicapai serta perjalanannya ke Syria.
Temubual eksklusif ini dibuat melalui laman Facebook kira-kira sebulan lalu.
Mohammad Fadhlan berkata, di Malaysia tidak ramai yang mengambil berat mengenai jihad kerana kurang pendedahan.
“Niat untuk berjihad sudah lama ada, cuma tidak tahu caranya. Alhamdulillah, ALLAH SWT memberi saya peluang mendalami agama sebelum berangkat ke Syria. Semuanya ada hikmah,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya dia bertanya pada rakan-rakan yang melanjutkan pengajian di Timur Tengah, namun tiada maklumat diperoleh untuk membolehkan dirinya berjihad.
“Apabila saya dimaklumkan, Mohd Lotfi berada di Syria, saya menghubungi dia melalui Facebook. Dia maklumkan apa yang perlu untuk saya buat persediaan ke sana, selain pesan, jangan tinggalkan solat sunat hajat, agar diberikan hidayah,” katanya.
Tambah Mohammad Fadhlan, bukan mudah untuk dirinya berhijrah ke luar negara, kerana berdepan pelbagai kesukaran.
“Kesukaran tu ada, sebab saya perlu sediakan belanja perjalanan, bukan sedikit jumlahnya.
"Alhamdulillah, bila kita niat nak buat benda elok, Insya-ALLAH, akan mendapat pertolongan.
"Berbekalkan belanja tu, saya beli tiket dan uruskan semuanya, susah juga sebab maklumlah selama ini tinggal di kampung sahaja, mana tahu semua tu tapi dipermudahkan,” katanya.
Ditanya sama ada wujud aktiviti merekrut ahli dari Malaysia, diketuai Mohd Lotfi, seperti didakwa, Mohammad Fadhlan tegaskan, ianya tidak wujud.
“Tidak ada aktiviti rekrut ahli, cuma ALLAH SWT gerakkan hati saya, untuk cintakan jihad. Tambahan pula selepas lihat saudara Islam di sini diseksa, dibunuh, ditanam hidup-hidup tanpa sebab hanya kerana berlainan fahaman,” katanya.
Tambahnya, insiden itu menimbulkan keinsafan pada dirinya kerana pembunuhan berlaku setiap hari di bandar-bandar didiami saudara Islam.
“Tentera Bashar sengaja sasarkan tempat orang ramai, selalunya di masjid pada hari Jumaat dan hospital.
"Bunyi bom barmil dan bom kimia menjadi lumrah. Susah payah di sini tak terasa sangat, sebab sejak kecil hidup sederhana. Penduduk pula terima kami macam ahli keluarga, rasa seperti berada di Malaysia,” katanya.
Mengulas segelintir pihak yang melabel rakyat Malaysia yang berjihad di Syria sebagai militan, Mohammad Fadhlan berkata, tidak dinafikan berasa sedih dengan tuduhan itu.
“Sedih juga bila orang panggil kami macam tu, tapi saya tak kisah. ALLAH SWT tahu apa yang kami buat. Rasulullah SAW pun banyak menyertai peperangan, Baginda cintakan jihad. Takkan kita yang cintakan Rasulullah nak tinggalkan jihad?,” katanya.
0 comments:
Post a Comment